Wednesday 4 November 2009

KEJAYAAN YANG HAKIKI



Saban hari, kita melihat sesuatu sama ada ia perkara baru ataupun ulangan kejadian lalu.  Kata-kata ahli hikmah bahawa semalam adalah sejarah, esok adalah harapan dan hari ini adalah kenyataan menjadi ungkapan yang simbolik bahawa setiap hari yang kita lalui membawa kita menuju kejayaan atau kegagalan. Kejayaan dinilai manusia dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besarnya sama ada ia bersifat hakiki atau maknawi juga tersurat mahupun yang tersirat.

Sukar dinafikan bahawa kejayaan hari ini digariskan oleh sebuah sistem berpaksikan kebendaan dan pemilikan. Dua faktor ini menjadikan seseorang menilai kejayaan dari sudut yang pelbagai. Sebagai contoh kita sering lupa bahawa setiap saat kita berjaya meneruskan kehidupan bilamana jantungnya dapat mengepam darah dengan sempurna. Andai kata jantung tidak dapat mengepam darah maka kita akan mengalami kegagalan fungsi jantung. Begitu juga dengan semua pancaindera lain seperti mata, telinga dan lain-lain semuanya dinilai sama ada ia berjaya atau gagal menjalankan fungsinya. Manusia merasa risau akan kegagalannya namun sering terlupa untuk bersyukur akan kejayaannya


Seseorang pelajar rasa berjaya bila keputusan perperiksaannya cemerlang. Seorang lelaki atau wanita rasa berjaya bila pilihan pasangan hidupnya menjadi kenyataan. Ibu bapa rasa berjaya bila kesemua anaknya berjaya ke menara gading. Seorang ketua rasa berjaya bila jabatannya mencapai sasaran. Ketua masyarakat rasa berjaya bila masyarakat sekitar memuji kepimpinanya. Pemimpin politik rasa berjaya bila partinya menang dalam pilihanraya. Seorang artis rasa berjaya bila penonton terhibur dengan persembahanya. Seorang jutawan rasa berjaya bila hartanya meningkat setiap tahun.

Maka kejayaan dan kegagalan satu perkara yang besar ertinya bagi manusia. Kerana itu definisi kejayaan sering kali berbeza bagi setiap manusia hatta si pembunuh merasa berjaya bila dia dapat membunuh siapa yang telah menjadi sasarannya. Dari anak kecil hingga si tua, para ilmuan hinga ke pengamal agama terdapat pelbagai tafsiran tentang erti sebuah kejayaan.

Benar bahawa semua contoh diatas adalah merupakan sebahagian dari kejayaan, namun saya tertanya-tanya apakah dia kejayaan yang sebenar dan bagaimana untuk mencapainya. Adakah ia mudah atau sukar mengambil masa singkat atau lama dan apakah yang perlu saya korbankan untuk mendapatkannya.

Maka saya cuba meneliti sejarah. Mencari makna yang saya rasa benar tentang kejayaan. Apa yang saya temui adalah kejayaan yang sebenar ada didalam agama dan agama yang benar adalah islam. Namun jika masyarakat islam masakini ingin dijadikan contoh maka saya rasa malu malah lebih malu untuk berbicara perkara ini dengan mereka yang belum islam. Apa tidaknya, kita ketinggalan dari pelbagai sudut. Majoriti pemimpin negara islam terlalu "sibuk" dengan kelazatan dunia. Majoriti bukan pemimpin pula "sibuk" dengan perkara cabang dan leka dengan hiburan. Maka setiap rumah hampir wajib dilengkapi peti TV, games dan internet. Kata sebahagia mereka, kami gunakan untuk kebaikan, Alhamdulillah, bagaimana pula dengan nasib sebahagia lagi. Semoga Allah menyelamatkan mereka dari fitnah besar ini. Hiburan yang melampau hanya mencipta kekaratan didalam hati yang menatijahkan kemalasan dalam beribadah dan ketumpulan daya berfikir.

Maka kejayaan dalam agama bagaimanakan yang boleh saya terjemahkan. Alhamdulillah, Allah telah menceritakan didalam Al-Quran begitu banyak siri kejayaan bagi manusia. Buangkan sifat malas untuk membaca dan memahami alquran. Jika tidak memahami bahasa arab, Allah telah mudahkan kefahaman ini dengan terjemahannya kedalam puluhan bahasa didunia. Antara kehebatan kita adalah kemampuan membaca alquran walaupun tidak boleh berbahasa arab namun kelemahan kita pula adalah malasnya untuk mengkaji dan memahami makna alquran yang kita baca. Hancurkan kelemahan ini, disitu nanti kejelasan terpancar bagi memperolehi jalan menuju bahagia.

Teringat saya kisah sahabat nabi seperti Bilal, dia miskin berstatus hamba, hitam dan tiada nilai bagi sikaya yang sombong seperti Umayyah. Namun hinga hari ini namanya subur mengharum meniti basah dari mulut golongan solihin. Setiap hari ribuan masjid melaungkan laungan yang diperkenalkannya. Pastinya Bilal telah berjaya dalam hidupnya. Bagaimana pula dengan Umayyah, Abu jahal dan Abu lahab?, adakah sesiapa yang pernah terdengar orang mengatakan mereka berjaya. Ya, mereka berjaya memperolehi kemurkaan Allah dan "hadiah" bagi kejayaan sebegitu adalah azab jahannam.


Selain bilal, banyak lagi sahabat yang saban hari nama mereka harum disebut disetiap pelusuk dunia. Mereka tidak semestinya miskin, malah ada diantara mereka yang kaya raya seperti Abdul Rahman ibn auf. Tergolong juga pemimpin negara seperti Umar ibn Aziz, ahli akedemik seperti Al-Khawarizmi (sekadar menyebut beberapa nama). Bagi saya mereka ini telah berjaya kerana Allah menampakkan kebaikan dari mereka hingga ia menjadi sebutan dan ikutan. Lebih penting dari itu, mereka telah berjaya bilamana mereka mengikuti jejak langkah Nabi dan sahabat-sahabat beliau dalam perkerjaan mereka seharian

Alhamdulillah, formula kejayaan telah saya temui. Rupanya tidaklah sukar untuk diperolehi kerana jalan mendapatkannya telah tersedia iaitu dengan melaksanakan segala perintah Allah samada berupa suruhan atau larangan berpandukan cara yang diajarkan oleh rasul-Nya Muhammad saw. Manual untuk pemahaman dan perlaksanaan kearah itu telah dibekalkan oleh Allah swt menerusi Al-Quran dan Sunnah nabi-Nya. Namun  begitu saya sedar bahawa menguruskan sebuah kejayaan adalah jauh lebih mencabar dari mendapatkannya. Ya Allah, berikanlah hamba-Mu ini kekuatan untuk melaksanakannya kerana disana ada jaminan akan sebuah kejayaan yang hakiki. Amin.







No comments: