Monday, 2 November 2009

TEKS KHUTBAH JUMAAT MASJID DURHAM UK - 09/10/2009

Saudaraku

Sebuah kehidupan yang baik menjadi keinginan dan matlamat kebanyakan manusia. Kita sering mencarinya dan sanggup berkorban untuk mendapatkannya. Setiap manusia berjuang untuk memenuhi impian memperolehi kehidupan yang baik. Matlamat ini seakan disepakati oleh semua manusia. Namun, manusia tidak bersepakat berkenaan dengan maksud sebuah kehidupan yang baik, jenis kehidupan yang baik dan kesan kehidupan yang baik. Perbezaan ini mengundang jalan yang akan memandu mereka meneruskan kehidupan ini berdasarkan maksud yang mereka fahami.

Seseorang mungkin merasakan bahawa kehidupannya dalam keadaan yang baik dengan banyaknya wang simpananya. Dia meyakini bahawa wang akan membahagiakannya. Oleh yang demikian dia meletakkan matlamat untuk mengumpulkan sebanyak mungkin wangnya tanpa mempedulikan apakah caranya benar atau salah. Sebagai contoh, dia tidak mempedulikan samada wang yang diperolehi dari sumber riba (bunga) sekalipun dia diingatkan dengan hadith nabi saw yang bermaksud "Allah melaknat orang yang mengambil riba, yang memberinya, yang menulisnya dan yang menjadi saksi dalam usrusniaganya".

Seseorang tetap mencari wang walaupun dengan cara suapan (rasuah). Untuk itu nabi saw mengingatkan bahawa "Allah melaknat si pemberi rasuah, si penerima rasuah dan perantara bagi urusan rasuah".

Seseorang sanggup menaniaya harta anak yatim untuk kepentingan kewangan dirinya.

Seseorang juga sanggup mencari wang dengan berniaga barang yang haram atau salah disisi undang-undang, skim-skim palsu dan menaniaya orang lain. Untuk itu nabi saw mengingatkan sabdanya
" Janganlah kamu kagum dengan harta kekayaan dan keturunan mereka, sesungguhnya Allah akan menghukum mereka didalam kehidupan dunia ini dan mengazab mereka sedang mereka dalam keadaan tidak beriman".

Seseorang juga turut merasakan berjaya memperolehi kehidupan yang baik dengan cara melanggar perintah Allah swt. Mereka melakukan dosa secara terang-terangan dan mempersendakan orang yang beriman. Golongan in kebanyakanya tidak beriman, dan mahukan kehidupan yang lepas bebas tanpa panduan agama. Mereka melakukan dosa malah berbangga dengannya.


Saudaraku

Allah, pemilik kita dan alam ini menjelaskan tentang kehidupan yang baik melalui firmannya " Setiap lelaki atau perempuan yang melakukan kebaikan dan mereka beriman kepada Allah swt sesungguhnya bagi mereka kehidupan yang baik dan siapakah yang lebih benar perkataannya dari Allah?".

Kehidupan yang baik boleh diperolehi berlandaskan 2 perkara penting yang mudah.
1. Beriman kepada Allah swt.
2. Melakukan amal kebajikan menurut kehendak Allah swt dan mengikut cara yang ditunjukan oleh nabi saw.

Saidina Ali pernah berkata kepada kehidupan dunianya " Kau cuba merayu dan mengodaku. Tapi aku tidak akan sekali terpedaya denganmu. Pergilah dariku. Aku telah memisahkanmu kepada tiga iaitu rasamu pahit, sahabatmu merbahaya dan bahayamu amat mudah. Pergi kepada yang lain dan jangan datang lagi kepadaku. Alangkah sedikitnya bekalan, masih jauhnya perjalanan dan luasnya pengembaraan".

Saudaraku

Marilah kita mencari makna kehidupan yang sebenar dan bersedia kearahnya. Janganlah kita terpedaya sepertimana mereka-mereka yang telah gagal dan kisahnya dirakamkan Allah didalam Al-Quran. Taatilah Allah swt dan ingatlah bahawa inilah satu-satunya jalan yang akan memandu kita kearah kejayaan yang sebenar.

No comments: