Monday 11 January 2010

KASIH DAN KASIHAN


Dimasjid madinah, tempat yang menjadi tumpuan para jemaah untuk bersolat adalah didalam kawasan raudah. Raudah merupakan kawasan masjid asal yang dibina pada zaman Nabi dan disebelahnya terletak makan Nabi saw diikuti makan saidina Abu Bakar dan Umar ra. Banyak kelebihan diriwayatkan bagi sesiapa yang bersolat atau beribadah didalamnya yang berkeluasan kira-kira 30m × 35m menyebabkan ianya sentiasa menjadi tumpuan manusia pada setiap masa. Keluasan masjid kedua termulia dan terbesar didunia ini telah diperluaskan dari semasa kesemasa dan ia berkeupayaan untuk mengumpulkan 1 juta manusia untuk beribadah pada satu masa. Tidak dinafikan memang terasa kelainan apabila menjejakkan kaki kedalam raudah. Debaran dan kegembiraan tidak tergambar kerana disinilah nabi berserta sahabat besar beliau bekerjasama mendirikan dan menghidupkan amalan didalamnya. Tempat yang mulia dan penuh barakah ini menerima tetamu dari segenap pelusuk dunia, tanpa mengira bangsa dan warna kulit, darjat dan keturunan, tua dan muda semuanya datang semata-mata untuk melahirkan tanda cinta dan kasih terhadap Allah dan Nabi-Nya.

Namun begitu ternyata tempat yang mulia tidak menjamin kemuliaan insan sebagaimana iman tidak mungkin dapat untuk diwariskan. Disini, kita akan berjumpa dengan pelbagai ragam manusia yang menyebabkan kita faham dan insaf tentang tujuan Allah swt menghantar para Nabi-Nya berserta wahyu dan hikmah bagi mengatur hidup dan menyempurnakan akhlak manusia. Manusia yang hidup tanpa penghayatan pedoman dari Allah ini seringkali keliru dalam meletakkan keutamaan dari setiap tindakan sekaligus mencipta pelbagai fitnah yang tidak hanya menimpa dirinya namun lebih besar dari itu ianya menjadi penyebab agama Islam dipandang hina.

Dikala jutaan jemaah berharap untuk dapat beribadah didalam raudah, satu perkara yang pasti terjadi adalah kesesakan tidak terbayang memandangkan saiz raudah yang saya kira hanya mampu menampung 500-700 orang pada sesuatu masa didatangi oleh ratusan ribu manusia. Keadaan menjadi terlalu padat terutamanya menjelang setengah jam sebelum solat dimana manusia seakan gelombang yang tidak punya ruang untuk menetapkan arahnya melainkan hanya mengikuti arah tiupan angin. Maka masa yang terbaik untuk beriktikaf dan dapat bersolat didalamnya adalah dengan datang sekurang-kurangnya 2 jam lebih awal sebelum azan dilaungkan namun 4 jam lebih awal diperlukan pada hari jumaat.

Sifat manusia yang berhajatkan sesuatu seringkali menyebabkan kita lupa akan keutamaannya. Bagi kita asalkan hajat tercapai maka itulah kunci kegembiraan tanpa mempedulikan kesannya. Maka dalam memenuhi hajat untuk bersolat didalamnya berlakulah pertengkaran merebut tempat, tolak menolak, pijak memijak yang disertai dengan jerit pekik disana-sini. Sebahagiannya pula menangis tersedu-sedu dengan pelbagai gaya dan cara yang dirasakanya ibadah namun bertentangan syarak. Sebilangan besar pula tidak berganjak untuk memberi peluang jemaah lain bersolat disitu seolah merasakan tempat itu adalah haknya.

Terjadi satu peristiwa yang sangat terkesan dihati saya pada waktu itu  dimana kira-kira 10 minit sebelum solat zohor, ratusan ribu jemaah akan berusaha mendapatkan tempat untuk bersolat didalamnya seperti biasa. Maka dalam keadaan yang padat itu saya yang datang awal terpandang kepada seorang saudara yang juga memandang kepada saya dengan rasa penuh harapan dan minta dikasihani agar memberikan ruang baginya untuk masuk ke dalam saf. Maka saya yang sedang dalam keadaan duduk berhempit dengan bahu bersentuh bahu bersama jemaah disebelah merasa kasihan kepadanya lalu memberitahu jemaah disebelah kanan dan kiri supaya mengecilkan lagi cara duduk bagi membolehkan dia dapat duduk bersama. Akhirnya terbentuklah ruang kecil bagi membolehkan dia duduk disitu. Keceriaan begitu terserlah diwajahnya disertai ucapan terima kasih bagi mengambarkan kegembiraan itu. Selang beberapa minit kemudian atas sebab yang tak pasti jemaah disebelahnya bangun dalam kesesakan itu untuk keluar yang mungkin saya kira wuduknya terbatal kerana amatlah jarang bagi mereka yang sudah mendapat tempat didalam raudah ditambah pula solat yang bakal dilangsungkan kira-kira 5 minit lagi akan keluar dari situ. Maka bila dia bangun dari duduknya maka menerpalah jemaah yang sedang tercari-cari tempat untuk mengantikan tempatnya itu. Namun jemaah yang baru diberi ruang kecil tadi telah membesarkan cara duduknya dan tidak ingin membenarkan jemaah lain untuk duduk disitu. Lebih dari itu dia juga mengsyorkan kepada saya untuk membesarkan cara duduk bagi menjadikan ruang itu semakin padat. Maka saya mengelengkan kepala kepadanya lalu berkata "Kita mesti tolong saudara kita dan mudahkan urusannya, InshaAllah Allah akan mudahkan pula semua urusan kita" sambil mengurut belakangnya lalu menghempit rapat kesisinya menyebabkan ruang kecil terbentuk semula. Lalu tempat yang kecil itu diduduki olah seorang negro tua lalu terus memeluk saya dan mengucapkan Alhamdulillah dengan mata yang berkaca.

Satu pengajaran besar dari peristiwa kecil yang saya lalui ini menjadikan saya insaf akan segolongan manusia yang selalu berharap untuk diberikan bantuan dan bergembira dengannya namun setelah diperolehinya dan apabila tiba gilirannya pula untuk membantu orang lain maka secara tiba-tiba dia lupa akan nikmat bantuan yang baru diterimanya tadi dengan hanya mahukan keselesaan secara peribadi. Tiada perasaan kasih dan kasihan sesama muslim namun sentiasa pula mengharap orang lain untuk mengasihaninya. Jelaslah bahawa pesanan nabi saw "Tidak sempurna iman kamu selagimana kami tidak kasih kepada saudaramu sebagaimana kamu mengasihani diri kamu sendiri" menjadikan kita faham bahawa mengasihi saudara muslim dengan memenuhi segala hak-haknya merupakan salah satu syarat bagi kesempurnanya iman. Kepada Allah juga dipohon akan segala kesempurnaan. Wallahualam.

No comments: