Sunday 13 December 2009

BERSABAR DALAM UJIAN


Ujian selalu datang dan pergi dalam hidup ini. Setiap manusia pasti akan diuji Allah sesuai dengan kadar ketentuan-Nya.  Ujian menuntut kesabaran dan kekuatan bagi kita mengadapinya. Begitu banyak pesanan Allah dirakam didalam Al-Quran menekankan dan mengajar hamba-Nya untuk bersabar ketika diuji. Ujian dari Allah lazimnya berbentuk kesusahan atau kesenangan yang mana ia turut meliputi kepatuhan seseorang didalam melaksanakan perintah-Nya sama ada bersifat suruhan ataupun larangan. Maka kesabaran sangat diperlukan tatkala kita dilanda badai ujian. Kesabaran yang benar adalah dengan penyerahan secara mutlak kepada Allah bagi memohon kekuatan yang berpandukan segala jalan ikhtiar terutama yang pernah ditunjukan oleh para nabi dan sahabatnya yang terdahulu.


Dalam menyampaikan kebenaran adakalanya kita diuji dengan pelbagai reaksi masyarakat yang bersifat menentang sama ada ianya secara halus atau terang-terangan. Pelbagai andaian, tohmahan dan kecaman menjadi habuan insan yang berusaha menyampaikan kebenaran. Adakalanya nyawa juga menjadi cagaran dalam usaha yang tidak mengharapkan keuntungan materialistik sebegini. Namun bagi para penyampai kebenaran yang menyampaikan semata-mata mencari redha khalik-Nya semua yang pahit dan berbahaya seakan tegukkan segelas minuman segar kepada musafir yang sedang berkelana dipadang pasir yang tandus. Bilamana nilai kebendaan dan pemilikan diletak pada tempatnya yang benar maka terpancarlah kefahaman tentang tujuan kita dikirimkan Allah kemuka bumi. Islam tidak pernah menghalang perolehan harta, pangkat dan pengaruh asalkan bertepatan dengan syarak dan bukan menjadikannya matlamat didalam hidup. Anugerah Allah swt dalam bentuk perolehan yang tersebut juga menuntut kesabaran dalam menguruskannya. Kerapkali kita mendengar manusia berjaya bersabar dengan ujian kesusahan atau kemiskinan namun ramai dari mereka yang gagal dalam ujian kejayaan atau kekayaan. Mereka mula lupa diri dan merasa semua yang dimilikinya adalah dari hasil usaha gigih dan kepandaiannya semata. Sebenarnya, tidaklah rugi jika dia memulangkan semula kepada Allah dengan rasa penuh kesedaran dan kesyukuran kerana semua itu tidak akan menjejaskan miliknya. Allah tidak berharap kepada sesuatu melainkan suka menganugerahkan sesuatu.


Cerita insan yang terdahulu perihal kesabaran mereka cukup mengamit hati bagi hamba Allah yang bersungguh dalam memahami erti sebuah kesabaran. Nabi Allah Noh as berdakwah selama lebih 900 tahun mengajak umatnya menuju kebenaran dan kejayaan namun balasan yang diterima adalah penghinaan berterusan melainkan hanya berberapa orang sahaja yang membenarkannya. Beliau tidak menjual selain dari produk yang menitijahkan keuntungan dan kebahagian dunia dalam kerangka redha Allah yang akan mencerah jaminan keselamatan hidup selepas kematian. Belia tidak berhasrat menumbangkan penguasa tidak juga merampas harta sikaya dan buka berusaha untuk meraih "glamour" agar menjadi sanjungan masyarakatnya. Hasrat beliau hanyalah melaksanakan perintah Tuhannya agar umatnya terselamat pada suatu hari yang tidak berguna anak pinak yang ramai dan harta benda melainkan seseorang yang kembali kepada Tuhannya dengan hati yang sejahtera. Untuk itu kesabaran bertamu setiap hari didalam hidupnya yang bukan hanya dari umatnya malah ahli keluarganya sendiri menolak seruan beliau. Namun kesudahannya kesabaran beliau dibayar dengan anugerah kejayaan dari Allah swt.


Berbeza pula keadaan nabi Allah Sulaiman as, beliau diuji Allah swt dengan limpahan kekayaan dan kekuasaan. Namun beliau juga telah berjaya kerana bersabar dengan mempergunakan semua nikmat pemilikan itu kejalan yang dikehendaki oleh Tuhannya. Tidak terbayang oleh kita seorang manusia yang bukan sahaja kaya-raya namun juga menguasai dan memahami bahasa makhluk lain hatta angin dan jin tunduk pada perintahnya dapat bersabar dari sifat sombong, takbur,ujub serta penyakit lahir dan batin yang lain. Jika kehebatan kerajaan dijadikan ukuran tentunya jauh dari setanding kerajaan ratu Balkis berbanding dengan kerajaannya. Namun menyedari hakikat tujuan dia dihidupkan maka perintah Tuhannya untuk menyampaikan kebenaran dilaksanakan dengan rela dan bijaksana. Lebih dari itu, dia tetap memulangkan semua nikmat yang dianugerahkan untuknya kepada kekuasaan dan kebesaran si Pencipta dengan kerendahan diri dan kepatuhan secara mutlak.


Kualiti kesabaran sebeginilah yang perlu ada dalam diri kita tatkala menghadapi ujian Allah swt yang mengkehendaki kita untuk bersabar. Pengambilan iktibar dari cerita sebegini berupaya menjadi pemangkin kesabaran bagi insan yang diujian akibat usahanya menyampaikan kebenaran. Allah berfirman didalam Al-Quran " Wahai orang-orang yang beriman mohonlah pertolongan dari Allah dengan jalan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar" (Al-Baqarah,153). Kepada Allah jua dipohon kekuatan dan kesabaran menghadapi segala Ujian. Amin

No comments: