Wednesday 23 December 2009

QANAAH


Selalu kita mendengar seseorang mengeluh menceritakan masalah kewangan yang dihadapi olehnya. Adakalanya tidak terlintas didalam fikiran kita bahawa dia menghadapi masalah tersebut memandangkan cara dan gayanya berlawanan dengan apa yang diceritakan. Allah lebih mengetahui apa tujuan dia menceritakan masalah dirinya. Sesuatu yang bersifat peribadi biasanya hanya akan dikongsi dengan insan tersayang.  Barangkali sudah tidak tertahan menanggung beban tekanan yang semakin parah lantas mengharapkan bantuan atau pandangan dari orang lain yang mungkin dapat membantu. Disinilah nanti akan ketara perbezaan antara seorang kawan yang mulia atau hanya berpura.  Begitupun saya tertanya, adakah masalah ini hasil ciptaan sendiri atau sememangnya takdir dari Allah swt kepada seseorang.

Secara fitrahnya, manusia dijadikan berkehendakkan kepada sesuatu sama ada ia bersifat keperluan atau keinginan. Penghuraian kepada dua sifat ini adalah luas dan agak subjektif. Mungkin secara mudah dapat ditafsirkan bahawa keperluan adalah sesuatu kemestian yang perlu disediakan oleh seorang bagi meneruskan kelangsungan hidupnya atau tangungannya. Manakala keinginan pula adalah sesuatu yang telah terkeluar dari batas keperluan dalam kehidupan seseorang yang mana jika tidak diperolehi sekalipun tidak akan mengundang mudharat kepada diri atau tangungannya. Manusia sering terkeliru membezakan antara keperluan dan keinginan didalam membuat keputusan. Keinginan yang tidak terkawal bakal menjerumuskan seseorang kepada kehidupan yang sukar sama ada didunia ataupun selepasnya.

Jika dua perkara ini diperhalusi nyata menampakkan bahawa manusia yang menghadapai masalah kewangan yang teruk berpunca dari kelemahan dan kesilapan dirinya sendiri. Keinginan yang dipandu dengan hawa nafsu yang liar seringkali mengakibatkan manusia akhirnya tersepit dengan timbunan masalah kewangan yang sarat. Sifat berlumba untuk mencari sesuatu yang terbaik yang pada dasarnya dibenarkan telah disalahguna untuk bertanding secara jahil bagi mencari pujian dan sanjungan manusia. Paparan media tentang kecantikan, fesyen dan trend terkini ditambah pula sindiran pedas dari ahli keluarga dan rakan-rakan tentang pemilikan "outdated" seseorang menjadikannya hilang arah dalam membuat pertimbangan yang waras antara sesuatu keperluan dan keinginan. Lebih dari itu kebangaan bercerita sesama rakan perihal keindahan rumah, kenderaan, pakaian, perhiasan, percutian dll menjadi topik perbualan yang tiada berkesudahan. Maka sudah tentu golongan yang kurang mampu didalam kelompok ini merasa terpinggir dan kecil berbanding ahli keluarga atau rakan-rakannya yang nampak "hebat". Lalu jalan pintas dicari melalui pelbagai cara. Pilihan berhutang, melabur dalam skim palsu, menjual harta pusaka malah perolehan dari sumber yang subahat dan haram juga tidak dipeduli asalkan wang segera dapat diperolehi. Tujuannya hanya satu, agar dirinya nampak hebat setanding orang lain apabila bercerita tentang pemilikan. Biarlah setiap bulan mengira hutang, makanan seharian tanpa zat, pendidikan anak terabai asalkan pujian dan "wow" dapat didengar dari mulut rakan dan ahli keluarga. Sudah pastinya manusia seperti ini tidak akan tenteram hidupnya. Kerisauan akan sentiasa memburunya apatah lagi dengan hadirnya musibah tak terduga seperti sakit, kemalangan dll. Kini istilah kais pagi makan pagi kais petang makan petang yang sinonim dengan orang miskin yang tidak berharta sebenarnya telah juga terpakai kepada segolongan manusia yang nampak macam kaya.

Nun disana, ada segolongan manusia yang hidupnya serba sederhana. Sifat qanaah subur dibaja didalam diri dan keluargannya. Segala keperluan diri dan keluarga diusahakan semampunya. Taat dia kepada Tuhannya dan bijak dia meredakan golombang keinginan diri dan pujukan tangunggannya. Beristiqarah dia dalam apa juga perkara yang samar berkenaan dengan keperluan dan keinginan didalam hidupnya. Sedar dia tahap kemampuannya serta tanggungjawabnya menyumbang kearah kebajikan walaupun dengan jumlah yang tidak seberapa. Tidak terpengaruh dia dengan golongan manusia dungu yang suka menceritakan kelebihan diri apatah lagi untuk bersaing dengan golongan seperti itu. Kerap dia bermuhasabah dan berdoa agar Allah memberinya rasa kecukupan dan kebijaksanaan untuk menilai akan keperluan dan keinginan yang selalu berkunjung dalam hidupnya. Maka Allah mengurniakan kecukupan dan kekayaan dalam jiwanya. Ketenangan dan kebahagian sentiasa hadir berkat dari sifat qanaah dan kefahamannya bahawa meletakan dunia sebagai matlamat hanya akan mengundang kerungsingan yang tidak berkesudahan.

Sebenarnya, keinginan manusia itu tidak akan pernah padam selagimana mulutnya tidak dipenuhi dengan tanah. Usaha seseorang untuk cuba memenuhi segala yang diinginkan boleh diibaratkan seperti seorang yang dahaga namun diberi minum air laut. Disitulah pentingnya iman dan akal yang sihat bagi menghadapi godaan keinginan duniawi yang sering memperbodohkan mangsanya. Namun begitu keinginan untuk menjadi hamba yang dikasihi oleh Allah perlu difikirkan dan harus sentiasa diusahakan kerana disitu ada jaminan ketenangan dan kebahagiaan sebenar. Kepada Allah jualah dipohon segala kebijaksanaan. Ya Allah jadikanlah aku dan keturunanku golongan yang sedikit.


No comments: