Tuesday 5 January 2010

BURJ KHALIFA YANG 'LUAR BIASA'


Disaat musuh islam memperketatkan strategi bagaimana untuk menghancurkan umat islam secara total, kita dibuai satu lagi mimpi indah dengan perasmian sebuah binaan terhebat didunia bernama burj khalifa. Pembinaan bernilai ribuan juta dollar dan mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan ini mungkin juga dipengaruhi oleh tindakan "bijak" negara kita yang telah membina menara berkembar petronas satu ketika dulu sekaligus bagi menuntuk bela atas kegagalannya dalam mengekalkan gelaran tersebut. Kini negara islam kembali memiliki bangunan tertinggi didunia yang mungkin sekali sukar untuk ditanding gugat oleh negara lain dalam kurun ini. Apakah ini pencapaian yang patut dibanggakan atau musibah yang mesti ditangisi.

Dikala sebahagian umat islam bergembira dan kagum dengan kehebatan binaan bangunan disebuah negara berstatus islam ini dengan terpaksa mendongak ke langit untuk memandang puncaknya, rupanya mereka tidak sedar bahawa seluar atau kain yang mereka gunakan untuk menutupi maruah tubuhnya terlucut kebawah. Manusia lain sedang bergelak ketawa melihat segala kurap, panau dan kudis yang merata ditubuhnya kerana kecuaiannya menjaga tubuh badan dari dihinggapi penyakit yang berpunca dari kemalasan menjaga kebersihan diri sendiri. Dalam masa yang sama dia merasakan gelak tawa dan riuh rendah orang disekelilingnya berpunca dari kegembiraan dan keghairahan manusia kerana terlihatnya mereka akan sebuah bangunan yang hebat itu. Rupanya mereka sedang mentertawakan dirinya yang sedang berdiri sambil mendongak dengan seluar atau kain yang telah terlondeh kebawah.

Pandangan manusia sememangnya berbeza namun pandangan yang lahir dari hati dan iman yang bersih itu merupakan cahaya suluhan ilahi yang perlu kita usahakan. Didalam perkara ini memandang keatas amatlah berbeza dengan memandang kehadapan. Memandang keatas dengan kekaguman melampau seringkali meletakkan seseorang dalam keadaan yang merbahaya kerana hilangnya tumpuan pada faktor sekeliling yang mengancam atau memerlukan perhatian dari kita. Manakala memandang kehadapan berupaya mencerna akal manusia untuk berfikir dan menganalisa akan segala tindakan dan keputusan,  keperluan dan keutamaan serta halangan dan penyelesaian dalam menghadapi sesuatu perkara. Toyota, sebuah syarikat automotif terbilang dunia menggunakan "look forward" sebagai moto yang dirasakan baik untuk kita pelajari sejarahnya. 

Bagaimana mungkin untuk kita berbangga dengan bangunan hebat itu bilamana kita memandang kekiri, kita melihat dan mendengar suara saudara kita di gaza, sudan, iraq, afgan, midanao, selatan thai dll sedang menangis dan berjuang siang dan malam untuk mendapatkan hak mereka yang dirampas. Diwaktu letupan dan percikan cantik bunga api raksaksa menghiasi ruang udara dubai, saudara kita yang terkurung sedang menanti letupan dari senjata automatik musuh bagi mengakhiri hayat mereka.

Dikanan pula, kita melihat berpusu-pusu cendiakawan muslim meninggalkan negara masing-masing untuk ke negara lain sama ada untuk tujuan bekerja ataupun belajar kerana kurangnya peluang pekerjaan dan rendahnya mutu universiti dinegara islam. Sebahagian mereka pula terpaksa atau dipaksa keluar atau dibunuh hanya kerana mereka bijak yang dengan kebijaksanaan ini mereka ditakuti akan merampas pemerintahan pemerintah sedia ada. Lalu mendepalah tangan negara-negara lain mengucapkan "you are welcome to our country" dengan syarat kamu mestilah profesional atau pelajar yang mana syarat ini akan memajukan dan mengkayakan lagi negara mereka dengan cukai dan sumbangan dari cendiakawan islam.

Dibawah pula kita melihat umat islam dipecahkan kepada fahaman sempit berpuak dan berparti serta taksub ketua dengan kemalasan tinggi untuk merujuk kepada kebenaran Al-Quran dan Hadith serta sumber ilmiah sahih yang lain dalam sesuatu perkara yang sedang mereka hadapi. Semua cakap ketua mesti dipatuhi tanpa boleh dipersoalkan kerana bimbang dikatakan "kamu menghina pemimpin/ulamak". Sesungguhnya kecuali nabi, semua pemimpin atau ulamak terdedah pada kesalahan dan untuk mengatakan mereka sentiasa betul adalah satu kesilapan. Maka persaudaraan menjadi terlalu mahal dan bersyarat dan kamu mesti sama pendapat dan fahaman dengan kami, jika tidak kamu musuh kami. Lebih teruk dari itu darah menjadi terlalu murah untuk ditumpahkan hanya kerana berbeza pendapat pada hal yang furuk.

Didalam pula kita melihat rumah kita dipenuhi alat bantuan melihat dan mendengar yang terkini yang diusahakan dari hasil usaha kita yang halal namun menayangkan dari sumber maksiat yang haram. Isi rumah kita dididik dengan movies hingga tiada rasa bersalah atau malu pada paparan yang dilarang. Zina mata kita halalkan dengan alasan rapuh bahawa ia sukar dielakkan. Cerita tahyul dan hiburan tanpa batas menyebabkan anak kita lebih gentar hantu dari Allah, lebih suka games dari maths, lebih gemar muzik dari mengaji Ikraq. Para artis yang buruk akhlaknya lebih kita kenali dari para sarjana yang berjuang menyampaikan ilmu. Dosa dan pahala pula gagal kita beza hinggakan para pendusta kita kata berkaliber, si pengumpat semakin kita rapat dan perasuah kita katakan tiada masalah.

Jika beginilah keadaannya maka Burj Khalifah itu tidak lain hanyalah menambahkan satu lagi koleksi kelemahan yang mencerminkan kelesuan akal dalam meletakkan keutamaan bagi seorang pemimpin dan kita yang bergelar muslim pada zaman ini. Satu persoalan yang sering saya tertanya adalah seandainya Rasulullah SAW hidup dan melihat bangunan ini adakah beliau akan berbangga dengannya. Kepada Allah jua dipohon hidayah dan hikmah. Wallahualam.

No comments: