Sunday 3 January 2010

KEMANA IA DIBELANJAKAN


Firman Allah SWT

"Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya". (Surah Ali Imran ayat 92)

Seringkali dalam hidup ini kita merasakan sesuatu yang kita miliki adalah hak mutlak kita, dan seringkali juga kita merasakan sesuatu yang terlepas dari gengaman merupakan suatu kerugian. Minda kapitalis kita juga sering ditekankan untuk memastikan sesuatu perkara yang kita buat bakal menguntungkan atau sebaliknya. Adakalanya ia benar, namun amatlah perlu kita berhati-hati kerana disitu terdapat perbezaan besar yang sering kita terlupa yang menjadi pembeza kualiti antara seorang mukmin dengan mukmin yang lain bagi merintis jalan mencari redha Allah swt.

Antara kesilapan besar bagi seorang muslim adalah apabila dia merasa sesuatu yang dikeluarkan untuk jalan agamanya seakan satu bebanan atau kerugian. Lebih teruk lagi bila dia gagal membezakan wang yang hilang dari gengamannya disebabkan sumbangannya dengan kehilangan yang disebabkan kecuaiannya sendiri. Sifat berkira ini adakalanya melampau hinggakan untuk bayar parking kereta dimasjid bagi solat jumaat juga kita terlalu berkira sama ada 50 pence atau 1 pound yang perlu dimasukkan kedalam peti meter. Maka berlarilah kita meninggalkan masjid sebaik sahaja khatib memberi salam bagi mengelak dari disaman. Malangnya bila disaman si khatib pula yang kita cerca kononnya memberi khutbah terlalu panjang. Alangkah baiknya jika dengan membayar 1 pound dan kita merasa tenang dari memikirkan saman dan dapat menumpukan seluruh tumpuan pada pesanan khatib disamping beroleh kenikmatan beribadah tanpa kerisauan. Lebih dari itu adakah sama 1 pound yang kita belanjakankan untuk beriktikaf dimasjid dengan 1 pound yang kita belanjakan untuk masuk ke carboot sale. Jika kita gagal membezakan nilainya disini maka sangatlah perlu bagi kita bermuhasabah bagi menilai tahap iman sama ada masihkan ia berbaki atau sebaliknya.

Pada masa yang sama kita menjadi sangat pemurah untuk membayar harga tiket wayang, bil bulanan rangkaian tv berbayar, set games, koleksi DVD artis dll. Kerugian tidak pernah terasa bila membelanjakan untuk perkara sebegini malah seronok berbangga untuk menceritakkan kepada rakan taulan tentang "advantage" yang kita ada. Kenapa tidak  semua wang dari "kebijaksanaan" kita ini dibelanjakan untuk membantu saudara kita yang miskin dikampung atau dinegara lain. Paling tidak apakah rugi jika kita menambah koleksi buku ilmiah dirak yang bersebelahan showcase bergermalapan kita yang mana ilmu didalamnya dapat diwariskan kepada generasi keturunan kita. Ada ketikanya kita tumpang gembira dengan segala macam nikmat yang Allah kurniakan kepada seseorang. Namun  kegembiraan sahaja nyata tidak mencukup kerana sering kita dengar manusia lupa diri dengan limpahan nikmat yang bersifat sementar. Lebih penting dari itu kita perlu mendoakan untuknya agar segala nikmat yang diperolehinya menjadikan dia lebih faham didalam  agama dan lebih rapat dengan Allah.

Abu Talhah adalah seorang ansar yang kaya dimadinah. Bila turunnya ayat diatas beliau terus membelanjakan harta yang paling disayangi olehnya. Tidak hairan beliau merupakan seorang dari 10 orang yang dijanjikan syurga. Itulah juga sifat seorang mukmin yang sejati yang sentiasa merasakan ayat Al-Quran yang dibaca ditujukan kepadanya dengan tidak hanya untuk mengadaptasikannya kepada orang lain. Silakan untuk menjadi sehebat Abu Talhah namun jika kurang upaya maka adakah sebarang langkah telah dimulakan kearahnya.

Sifat kedekut dan takut miskin dalam menyumbang sesuatu bagi mencari keredhaan Allah sebenarnya adalah penyakit yang hadir dari bisikan syaitan semata. Nabi memberitahu kepada isterinya Aisyah ra bahawa apa juga yang telah disedekahkan kepada orang lain sebenarnya itulah untuk orang yang bersedekah yang mana akan bertukar dalam bentuk amal dan pahala manakala apa yang dimakannya sendiri bakal menjadi habuan cacing dan ulat semata. Belum pernah kita dengar seseorang yang banyak menyumbangkan sesuatu kejalan Allah menjadi miskin disebabkan sumbangannya. melainkan bertambah kekayaan  dan ketenangan didalam hidupnya. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada saya yang menulis.
Amin.

No comments: