Wednesday 20 January 2010

TENANG ITU HEBAT


Sesuatu yang amat penting dalam hidup ini adalah ketenangan. Dengannya kita akan merasakan bahawa setiap saat dalam hidup ini sungguh berharga. Manusia berusaha mencarinya dengan pelbagai cara dan pendekatan kerana dengan hadirnya ketenangan maka akan berlalulah kerisauan. Diantara kesilapan sebilangan manusia adalah merasakan bahwa ketenangan akan diperolehi dengan sesuatu yang bersifat materialistik atau boleh dibeli, yang lain merasakan dengan punyai pengaruh atau pengikut yang ramai, ada juga merasakan dengan hilangnya beban yang ditanggung dll. Namun yang pasti ketenangan yang hakiki itu sifatnya manis sebagaimana manisnya iman yang melekat didalam jiwa seorang muslim berkat ketaatannya kepada Allah swt. Lalu bagaimana untuk mencari ketenangan seterusnya menjauhi kerisauan kerana Allah swt pasti mengadakan penawar bagi setiap penyakit. Tidak dinafikan bahawa kerisauan merupakan sifat semulajadi insan, namun kerisauan perlulah bersandar kepada fakta agar insan tidak disesakkan dari memikirkan perkara yang jauh dari perlu.   

Saya tertarik dengan tulisan dr.yusuf qaradawi dalam bukunya bertajuk Iman dan kehidupan. Beliau merumuskan bahawa ketenangan itu akan terpancar dari keimanan yang sempurna. Lalu beliau memberikan dua sebab mengapa manusia sering tidak memperolehi ketenangan. Pertama adalah disebabkan manusia merasakan bahawa dirinya tidak memperolehi apa yang diinginkan. Kedua adalah disebabkan manusia melupakan apa yang telah dimiliki olehnya. Sebab yang begitu ringkas namun begitu signifikan dalam kehidupan seharian kita kerana adakalanya penyakit yang sukar dirawat tidak memerlukan ubat yang mahal bagi menyembuhkannya.




Jika diperhatikan dalam hidup ini memang benar sesuatu yang sangat kita ingin atau harapkan sering menyebabkan hilangnya ketenangan dalam diri sehinggalah ianya telah diperolehi ataupun berlaku sepertimana yang kita kehendaki. Kita merasa tenang untuk seketika hinggalah sesuatu keinginan atau keperluan yang baru muncul. Begitulah seterusnya putaran ini selagi hayat masih dikandung badan. Ketika sedang berdepan dengan tekanan untuk menyelesaikan atau mendapatkan sesuatu yang menjadi penyebab kerisauan,  rupanya ada perkara yang kita sering terlupa untuk mengiranya iaitu berapakah pula banyaknya keinginan dan keperluan yang telah kita perolehi. Tersentak dengan itu lalu kita mula mengira semua keinginan dan keperluan yang sedang kita usahakan. Hasilnya hampir memenuhi sehelai kertas A4. Seterusnya kita menganalisa satu persatu perkara itu lalu kita mendapati ada diantaranya telah hampir diperolehi, sebahagian telah separuh selesai dan lainnya baru bermula. Secara purata kesemuanya adalah kurang setengah kertas A4 sahaja.

Seterusnya pada kertas A4 yang lain, kita mula menulis tentang sesuatu perolehan atau nikmat yang telah kita miliki. Dimulai dengan bangunnya kita dari tidur pada pagi ini. 1.Bilik-kita punyai katil untuk tidur disaat ribuan manusia tidur diatas tanah atau simen, kita punyai selimut disaat ribuan sedang mengigil kesejukan, kita punyai bantal disaat ribuan hanya berbantal lengan, kita punyai isteri/suami/anak disebelah disaat ribuan sedang menangisi kematian yang tersayang. Kita punyai .....dll. 2. Sihat-Mata dan panca indera yang lain dapat berfungsi seperti biasa disaat ribuan menderita pelbagai penyakit atau cacat. Kita punyai akal yang dengannya membolehkan kita mengatur jadual seharian disaat ribuan menghuni pusat rawatan jiwa. Kita punyai deria yang....dll. Disaat ini rupanya sehelai kertas kajang telah penuh ditulis walhal diwaktu itu kita baru sahaja membuka mata bagi memulakan hari. Jika mahu ditulis tentang perolehan dan nikmat seterusnya dalam sehari sudah pasti kita memerlukan ratusan hatta ribuan kertas A4 untuk menulisnya.

Menyedari hakikat betapa banyaknya perolehan dan nikmat berbanding sesuatu yang masih belum terjelma sebagai milik atau mengikut kehendak kita akan menjadi penyegar jiwa bagi menyedarkan kita bahawa ketenangan sepatutnya menjadi milik kita. Dengan keimanan yang kukuh terhadap Allah swt, kerisauan pada perkara yang sebenarnya sedikit tidak layak meletakkan diri kita dalam keadaan tertekan atau sedih yang berpanjangan. Tambah rugi jika perkara yang sedikit itu tidak dicari jalan penyelesaiannya malah dikesali dan ditangisi sepanjang masa. Bangkitlah diri, sesungguhnya kehidupan dunia yang hanya sementara ini bukanlah tempatnya untuk menghimpun risau atau bersedih. Kepada Allah juga tempat memohon ketenangan.

No comments: