Thursday 25 November 2010

MENJADI TETAMU ALLAH


Mengikuti perkembangan jemaah haji yang baru pulang dari perlaksanaan rukan Islam yang kelima memang menyeronokkan. Nampak terserlah pancaran pada wajah kebanyakan dari mereka ketenangan dan kebahagian yang hanya mereka sahaja dapat merasakannya. Sungguhpun kepenatan yang amat namun kegembiraan selepas selesainya rukun ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Tempat yang penuh barakah ini menjanjikan seribu satu kenangan dan kemanisan yang tidak mungkin dapat dirasakan kecuali kepada para tetamu Allah swt  yang bertuah ini.

Bagi mereka yang belum sampai kesana maka amatlah baik untuk meletakkan niat yang teguh didalam hati disertakan dengan perancangan yang teliti untuk kesana. Ibadah pelengkap rukun ini amat mencabar kerana ia menuntut pelbagai komitmen dari pelakunya. Namun seorang mukmin percayalah penetapan Allah ini bukan untuk menyulitkan hambanya. Tanyalah kepada sesiapa yang telah kesana adakah mereka ingin pergi kembali, saya hampir pasti kesemuanya akan menyawab ya. Untuk apa, bukankah disana penuh dengan kesukaran.tiada keselesaan hatta bagi VIP sekalipun pasti bertemu kesesakan dan pelbagai kesulitan luar jangka yang lain.



Suatu masa dahulu, saya begitu inginkan untuk melawati bumi istanbul dan alhamdulillah, Allah swt mengizinkan ia untuk saya. Namun bumi yang menjadi tumpuan dunia untuk dilawati ini yang terkenal kerana kecantikan panorama dan kesan tinggalan sejarah 3 tamadun unggul dunia tidak pernah ada dalam hati saya untuk dilawati untuk kali kedua. Tapi jika berpeluang dan saya berdoa semoga Allah swt menyampaikan hajat saya untuk melaksanakan umrah sebelum saya balik ke Malaysia. Jika diukur dari sudut kemampuan memang kita rasakan bahawa kewangan kita adalah terhad. Kita punya banyak tanggunjawab yang lebih utama. Itu tidak mengapa dan sememangnya Allah meletakkan syarat kesana hanya kepada mereka yang mampu untuk sampai kepadanya. Namun pernahkah kita membuat sedikit muhasabah kedalam diri bahawa adakah benar kita tidak mampu untuk kesana atapun kita cuba berselindung dengan pelbagai alasan yang sebenarnya Allah lebih mengetahui. Adakah Allah swt boleh ditipu?.  Maha suci Allah.

Antara sifat manusia yang gagal adalah mereka yang terlalu banyak memberikan alasan. Dalam perkara haji mereka gagal dalam perkara asas iaitu tiada niat untuk melaksanakannya pada waktu ini. Niat yang ditanam adalah nanti apabila wang sudah cukup ataupun tanggunjawab sudah kurang ataupun apabila sudah tua. Dalam masa yang sama wang simpanan pula digunakan untuk mengubah elok rumah, bertukar atau mencantikkan kereta, melancong kesana-sini yang motifnya untuk menambah kepuasan. Maka ibadah haji diletak pada akhir matlamat setelah semua niat tadi tercapai. Persoalannya adakah pernah manusia merasa puas dalam hidup ini?. Sesungguhnya manusia tidak pernah merasa puas sehinggalah mulutnya disumbat tanah. 

Lalu salahkan kita melakukan sesuatu untuk kepuasan diri selagi ia tidak menggundang dosa?. Sudah pasti tidak namun jika kita belum melaksanakan rukun ini maka kita tergolong dikalangan muslim yang lemah iman dan cara fikirnya. Mengapa?  kerana kita sebenarnya gagal meletakkan keutamaan dalam hidup bagi menempa bekal dalam perjalanan menuju Allah. Sesungguhnya kita tidak akan terlepas dari audit Allah. Didunia kita mungkin dapat lepas dengan alasan yang nampak kukuh namun adalah Allah sifatnya maha mengetahui. Usahakanlah bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Pacakkan niat yang teguh dan jika ada kesempatan maka jangan bertangguh lagi. Mungkin masalah kewangan menghimpit atau anak yang masih kecil membolehkan hanya suami sahaja yang mampu pergi dahulu maka si isteri perlu redha. Sesungguhnya niat suci si isteri telahpun sampai kepada Allah walaupun dia belum  kesana. InshaAllah.

No comments: