Monday, 2 November 2009

TEKS KHUTBAH JUMAAT MASJID DURHAM UK - 23/10/2009

Saudaraku,

Khutbah hari ini akan membincangkan satu surah yang penting dan perlu diberi perhatian oleh semua. Ia adalah surah yang ringkas namun segala pesanan dan maksudnya cukup menyeluruh sekaligus menampakkan keunggulan Al-Quran sebagai wahyu dari Tuhan sekalian Alam. Surah yang dimaksudkan adalah surah Al-Asar. Memahami maksudnya yang begitu menyeluruh Imam Shafi'ee mengatakan " Jika seseorang membaca dan memahami Surah Al-Asar itu akan mencukupi untuk dia memperolehi kejayaan".


Saudaraku

Terjemahan surah Al Asar adalah;

"Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran".


Allah swt bersumpah bahawa manusia sentiasa berada didalam kerugian kecuali sesiapa yang mempunyai 4 sifat seperti yang digariskan dibawah.

Pertama- Memiliki Iman yang sempurna dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Ia juga meletakkan harapan yang penuh terhadap Allah dalam apa juga keadaan yang dihadapinya.

Kedua- Melakukan segala amal perbuatan dengan Ikhlas kerana Allah swt dan setiap amalannya menepati sebagaimana yang ditunjukan oleh persuruh-Nya iaitu nabi Muhammad saw.

Ketiga- Menyampaikan kebenaran dan menyebarkan pengetahuan tentang Islam kepada seseorang yang tidak mengetahui. Firman Allah swt
" Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintahKu dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran". (Al-Quran surah Al-Baqarah, ayat 186.)

Keempat- Menekankan tentang kesabaran dan kesungguhan dalam melaksanakan perintah Allah swt sama ada yang berupa suruhan atau larangan-Nya. Juga kesabaran dalam usaha menyampaikan dakwah kepada seseorang yang tidak mengetahui. Firman Allah swt
" Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar". (Al-Quran surah Al-baqarah, ayat 155)



KHUTBAH KEDUA
Saudaraku,

Alhamdulillah, Kita telah dapat melaksanakan solat 5 waktu secara berjemaah dimasjid. Sebagaimana kita semua sedia maklum bahawasanya anugerah Allah swt terhadap sesiapa yang solat berjemaah terutamanya dimasjid adalah sangat berlipat ganda berbanding solat sendirian atau dirumah. Banyak hadith nabi swt menekankan keutamaan solat secara berjemaah dimasjid terutamanya solat Isyak dan Subuh. Di antaranya adalah;

Dari Abu Hurairah, ia berkata : Rasulullah s.a.w bersabda
“ Solat seseorang dengan berjamaah berlipat ganda dari solat sendirian di rumahnya dan di pasar sebanyak 25 kali , iaitu apabila dia berwuduk, dia sempurnakan wuduknya, kemudian ia pergi ke masjid dan hanya semata-mata untuk solat; ia tiada melangkahkan kakinya, melainkan akan menambah tingkat dirinya satu darjat dan setiap langkah akan menghapuskan satu kesalahan. Apa bila ia solat, maka malaikat akan selalu mengucapkan selawat kepadanya selama dia tinggal di tempat solat itu dan tidak berkata-kata. Malaikat berdoa: Allahumma salli’alaih, Allahumma arhamhu ( Ya Allah berilah dia rahmat dan berilah dia kasih sayang ) dan ia tetap seperti orang yang mengerjakan solat selama dia menantikan solat .” (HR Muslim dan lafaz ini ada pada sisi Bukhari)



Oleh itu, marilah kita beramai-ramai memakmurkan rumah Allah dan beristiqamah didalamnya melaksanakannya.

No comments: