Showing posts with label KHUTBAH JUMAAT. Show all posts
Showing posts with label KHUTBAH JUMAAT. Show all posts

Monday, 2 November 2009

TEKS KHUTBAH JUMAAT MASJID DURHAM UK - 23/10/2009

Saudaraku,

Khutbah hari ini akan membincangkan satu surah yang penting dan perlu diberi perhatian oleh semua. Ia adalah surah yang ringkas namun segala pesanan dan maksudnya cukup menyeluruh sekaligus menampakkan keunggulan Al-Quran sebagai wahyu dari Tuhan sekalian Alam. Surah yang dimaksudkan adalah surah Al-Asar. Memahami maksudnya yang begitu menyeluruh Imam Shafi'ee mengatakan " Jika seseorang membaca dan memahami Surah Al-Asar itu akan mencukupi untuk dia memperolehi kejayaan".


Saudaraku

Terjemahan surah Al Asar adalah;

"Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran".


Allah swt bersumpah bahawa manusia sentiasa berada didalam kerugian kecuali sesiapa yang mempunyai 4 sifat seperti yang digariskan dibawah.

Pertama- Memiliki Iman yang sempurna dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Ia juga meletakkan harapan yang penuh terhadap Allah dalam apa juga keadaan yang dihadapinya.

Kedua- Melakukan segala amal perbuatan dengan Ikhlas kerana Allah swt dan setiap amalannya menepati sebagaimana yang ditunjukan oleh persuruh-Nya iaitu nabi Muhammad saw.

Ketiga- Menyampaikan kebenaran dan menyebarkan pengetahuan tentang Islam kepada seseorang yang tidak mengetahui. Firman Allah swt
" Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintahKu dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran". (Al-Quran surah Al-Baqarah, ayat 186.)

Keempat- Menekankan tentang kesabaran dan kesungguhan dalam melaksanakan perintah Allah swt sama ada yang berupa suruhan atau larangan-Nya. Juga kesabaran dalam usaha menyampaikan dakwah kepada seseorang yang tidak mengetahui. Firman Allah swt
" Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar". (Al-Quran surah Al-baqarah, ayat 155)



KHUTBAH KEDUA
Saudaraku,

Alhamdulillah, Kita telah dapat melaksanakan solat 5 waktu secara berjemaah dimasjid. Sebagaimana kita semua sedia maklum bahawasanya anugerah Allah swt terhadap sesiapa yang solat berjemaah terutamanya dimasjid adalah sangat berlipat ganda berbanding solat sendirian atau dirumah. Banyak hadith nabi swt menekankan keutamaan solat secara berjemaah dimasjid terutamanya solat Isyak dan Subuh. Di antaranya adalah;

Dari Abu Hurairah, ia berkata : Rasulullah s.a.w bersabda
“ Solat seseorang dengan berjamaah berlipat ganda dari solat sendirian di rumahnya dan di pasar sebanyak 25 kali , iaitu apabila dia berwuduk, dia sempurnakan wuduknya, kemudian ia pergi ke masjid dan hanya semata-mata untuk solat; ia tiada melangkahkan kakinya, melainkan akan menambah tingkat dirinya satu darjat dan setiap langkah akan menghapuskan satu kesalahan. Apa bila ia solat, maka malaikat akan selalu mengucapkan selawat kepadanya selama dia tinggal di tempat solat itu dan tidak berkata-kata. Malaikat berdoa: Allahumma salli’alaih, Allahumma arhamhu ( Ya Allah berilah dia rahmat dan berilah dia kasih sayang ) dan ia tetap seperti orang yang mengerjakan solat selama dia menantikan solat .” (HR Muslim dan lafaz ini ada pada sisi Bukhari)



Oleh itu, marilah kita beramai-ramai memakmurkan rumah Allah dan beristiqamah didalamnya melaksanakannya.

TEKS KHUTBAH JUMAAT MASJID DURHAM UK - 16/10/2009

Saudaraku,

Allah swt menciptakan manusia secara semulajadi mengikut fitrah kesesuaianya. Manusia hidup di bumi Allah swt didalam keadaan yang berlainan budaya, cuaca dan sebagainya. Perbezaan yang pelbagai ini secara tidak langsung pembentukan sikap dan tingkah laku manusia.

Sebagai manusia, secara kita memerlukan seseorang sebagai kawan. Kawan berperanan besar mempengaruhi serta mengubah diri seseorang. Terdapat 2 kategori kawan didalam hidup seseorang dan kita disarankan agar berhati-hati dalam memilihnya. Antara ciri-ciri kawan yang baik yang perlu juga ada dalam diri kita adalah;

Jika kita memerlukan bantuan daripadanya, dia akan mengusahakan
Jika kita tersalah atau melakukan dosa, dia membetulkan dan mengingatkannya
Jika dia mendapat sesuatu kebajikan atau bantuan, dia akan menghargainya
Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kita, dia akan menutupnya
Jika kita berdiam diri (malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kita
Jika datang sesuatu bencana menimpa diri kita, dia akan meringankan kesusahan kita
Jika kita merancangkan sesuatu perkerjaan yang baik, dia akan membantu kita
Jika berlaku perselisihan pendapat, dia lebih senang mengalah.
Dia membantu kita menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan maksiat.
Dia mendorong kita mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Manakala ciri-ciri kawan yang tidak baik pula adalah berlawanan sifatnya seperti yang tersebut.


Sahabatku

Nabi saw bersabda " “Perumpamaan teman yang baik dengan teman yang buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Seorang penjual minyak wangi tidak akan merugikanmu baik kamu membeli minyak wangi tersebut atau tidak, engkau pasti akan mencium darinya aroma yang semerbak. Sementara dekat dengan tukang besi hanya akan membuat bajumu berbau asap atau paling tidak kau akan menghirup bau yang tidak sedap darinya”(H.R.Bukhari dan Muslim)

Hadith ini tidak bertujuan menceritakan kerjaya yang diredhai Allah swt. Kerana tukang besi juga melakukan perkerjaan yang mulia.


Saudaraku,

Adakalanya kawan yang sedia ada kita tergolong seseorang yang tidak baik. Namun begitu jika kita menyedari bahawa adanya kebaikan dan kesediaan darinya untuk berubah maka janganlah kita meninggalkan dia. Kita hendaklah membantunya dengan cara yang penuh hikmah agar dia kembali kelandasan yang benar. Ini perlu dilakukan dengan sabar dan berdoalah selalu semoga Allah swt mengurniakan hidayah kepadanya.

TEKS KHUTBAH JUMAAT MASJID DURHAM UK - 09/10/2009

Saudaraku

Sebuah kehidupan yang baik menjadi keinginan dan matlamat kebanyakan manusia. Kita sering mencarinya dan sanggup berkorban untuk mendapatkannya. Setiap manusia berjuang untuk memenuhi impian memperolehi kehidupan yang baik. Matlamat ini seakan disepakati oleh semua manusia. Namun, manusia tidak bersepakat berkenaan dengan maksud sebuah kehidupan yang baik, jenis kehidupan yang baik dan kesan kehidupan yang baik. Perbezaan ini mengundang jalan yang akan memandu mereka meneruskan kehidupan ini berdasarkan maksud yang mereka fahami.

Seseorang mungkin merasakan bahawa kehidupannya dalam keadaan yang baik dengan banyaknya wang simpananya. Dia meyakini bahawa wang akan membahagiakannya. Oleh yang demikian dia meletakkan matlamat untuk mengumpulkan sebanyak mungkin wangnya tanpa mempedulikan apakah caranya benar atau salah. Sebagai contoh, dia tidak mempedulikan samada wang yang diperolehi dari sumber riba (bunga) sekalipun dia diingatkan dengan hadith nabi saw yang bermaksud "Allah melaknat orang yang mengambil riba, yang memberinya, yang menulisnya dan yang menjadi saksi dalam usrusniaganya".

Seseorang tetap mencari wang walaupun dengan cara suapan (rasuah). Untuk itu nabi saw mengingatkan bahawa "Allah melaknat si pemberi rasuah, si penerima rasuah dan perantara bagi urusan rasuah".

Seseorang sanggup menaniaya harta anak yatim untuk kepentingan kewangan dirinya.

Seseorang juga sanggup mencari wang dengan berniaga barang yang haram atau salah disisi undang-undang, skim-skim palsu dan menaniaya orang lain. Untuk itu nabi saw mengingatkan sabdanya
" Janganlah kamu kagum dengan harta kekayaan dan keturunan mereka, sesungguhnya Allah akan menghukum mereka didalam kehidupan dunia ini dan mengazab mereka sedang mereka dalam keadaan tidak beriman".

Seseorang juga turut merasakan berjaya memperolehi kehidupan yang baik dengan cara melanggar perintah Allah swt. Mereka melakukan dosa secara terang-terangan dan mempersendakan orang yang beriman. Golongan in kebanyakanya tidak beriman, dan mahukan kehidupan yang lepas bebas tanpa panduan agama. Mereka melakukan dosa malah berbangga dengannya.


Saudaraku

Allah, pemilik kita dan alam ini menjelaskan tentang kehidupan yang baik melalui firmannya " Setiap lelaki atau perempuan yang melakukan kebaikan dan mereka beriman kepada Allah swt sesungguhnya bagi mereka kehidupan yang baik dan siapakah yang lebih benar perkataannya dari Allah?".

Kehidupan yang baik boleh diperolehi berlandaskan 2 perkara penting yang mudah.
1. Beriman kepada Allah swt.
2. Melakukan amal kebajikan menurut kehendak Allah swt dan mengikut cara yang ditunjukan oleh nabi saw.

Saidina Ali pernah berkata kepada kehidupan dunianya " Kau cuba merayu dan mengodaku. Tapi aku tidak akan sekali terpedaya denganmu. Pergilah dariku. Aku telah memisahkanmu kepada tiga iaitu rasamu pahit, sahabatmu merbahaya dan bahayamu amat mudah. Pergi kepada yang lain dan jangan datang lagi kepadaku. Alangkah sedikitnya bekalan, masih jauhnya perjalanan dan luasnya pengembaraan".

Saudaraku

Marilah kita mencari makna kehidupan yang sebenar dan bersedia kearahnya. Janganlah kita terpedaya sepertimana mereka-mereka yang telah gagal dan kisahnya dirakamkan Allah didalam Al-Quran. Taatilah Allah swt dan ingatlah bahawa inilah satu-satunya jalan yang akan memandu kita kearah kejayaan yang sebenar.