Friday 11 December 2009

ANTARA MINIMUM DAN MAKSIMUM


Seorang ayah berkata kepada anaknya "Ayah tetap berbangga dengan kamu walaupun dalam perperiksaan akhir tahun ini kamu hanya berada pada kedudukan ketiga di dalam kelas. Kamu jangan putus asa, teruskan berusaha, InshaAllah kamu pasti boleh mendapat tempat pertama". Si anak yang kesedihan lalu bertanya " Ayah, adakah hadiah yang saya terima dengan hadiah kawan saya yang menduduki tempat kedua dan pertama berbeza?". Si ayah menganguk lemah, risau hatinya takutkan anak kesayangan menjadi semakin sedih. Tidak berpuasa hati dengan jawapan bapanya lalu si anak bertanya lagi " Apa bezanya ayah, saya juga mendapat hadiah didalam kotak yang dibungkus cantik sama seperti mereka". Lantas si ayah menjawab " Kamu benar anakku, tapi tahukah kami bahawa kandungan hadiah didalam kotak diantara kamu adalah berbeza". "Maksud ayah, hadiah didalam kotak mereka lebih baik"?. tanya si anak lebih lanjut. "Benar anakku, itulah yang membezakan tahap usaha diantara kamu". Dengan mata berkaca si anak bertekad "Saya berjanji mulai hari ini, saya akan melipat gandakan usaha saya untuk mendapat tempat pertama ayah". "InshaAllah, kamu akan berjaya jika kamu berusaha sekuat daya, sesudah itu berdoalah dan bertawakallah kepada Allah", pesan si ayah.


Benar, semua manusia mahukan segala yang terbaik didalam hidup mereka. Mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang mereka inginkan. Tercapainya apa yang mereka inginkan merupakan tanda kejayaan bagi kebanyakan manusia. Maka setiap orang meletakkan tanda aras kejayaan pada tahap yang berbeza-beza. Si kaya merasa terkebelakang berbanding rakan-rakannya jika masih kekal dengan Ferari yang dibelinya 3 tahun yang lalu. Nun disana, si miskin merasa gembira dengan kejayaannya membeli sebuah perodua kancil hasil dari usaha bertahun-tahunnya diladang. Si kaya merasa ferari yang dimiliki adalah kenderaan minimum baginya manakala bagi si miskin perodua kancil adalah pencapaian maksimum yang dimiliknya.


Begitulah juga dalam urusan kehidupan seharian kita. Penilaian adakah kita telah melakukan sesuatu secara minimum dan maksimum patut selalu berlegar diakhir hari kita. Mungkin yang terbaik sebelum menjelang maghrib yang merupakan permulaan hari baru bagi seorang muslim. Tanyalah kedalam diri serta jawab dengan ikhlas tentang masa, adakah dibazirkan dengan hiburan semata dan perkerjaan sia-sia. Tanyakan juga kedalam diri tentang semua pancaindera terutama hati, lidah, mata dan telinga, adakah digunakan untuk maksiat. Dan jangan lupa untuk bertanyakan tentang ibadah, adakah dilakukan sekadar minimum sahaja. Solat, terbiarkah dia hingga keakhir waktunya. Al-Quran dan Hadith dirak, sudahkah diambik pengajaran terbaru atau keadaanya masih baru seperti mana ia dibeli 10 tahun dahulu. Wang, harta dan Ilmu, adakah dia digunakan untuk menagih kekaguman makhluk atau mencari redha Al-Khaliq. Semua ini penting kerana Syurga Allah juga bertingkat dan yang tertinggi adalah Firdaus. Setiap penghuni syurga merasa terlalu ingin untuk menjejakkan kaki ketingkatan syurga yang lebih tinggi dari syurga yang ia miliki. Sudah tentu antara amalan minimum dan maksimum menjadi penyubur kepada keredhaan Allah swt bagi menganugerahkan syurga yang terbaik bagi hamba-hamba-Nya. Ya Allah sungguh aku tidak layak untuk syurgamu, namun pasti aku tidak sanggup menghadapi azab nerakamu, ampunilah semua dosa-dosaku sesungguhnya Engkau maha pengampun. Ya Allah rasul-Mu berpesan mintalah dari-Mu syurga Firdaus, maka hidayahkanlah kepada kami jalan untuk sampai kepadanya. Amin.

No comments: