Thursday 10 December 2009

ISLAM DAN KAIZEN



Kaizen adalah satu falsafah dan cara hidup yang diamalkan secara meluas oleh masyarakat di negara Jepun. Kaizen bermaksud penambahbaikan secara berterusan dalam semua aspek kehidupan. Lazimnya kaizen diguna pakai oleh kebanyakan syarikat besar dan berjaya di Jepun seperti Toyota, Matsushita, Kobe dll. Namun begitu Kaizen juga memberi impak yang besar kepada setiap individu yang mengamalkanya. Untuk rujukan lanjut, sila rujuk buku Kaizen tulisan Masaki imai untuk kupasan yang lebih menarik.

Saya tertarik dengan tulisan penulis buku ini bahawa masyarakat di Jepun adalah masyarakat yang dibentuk dengan budaya kaizen. Setiap individu sering bercerita tentang kaizen dimana-mana saja mereka berada. Mereka tidak suka dengan sesuatu perkara atau keadaan yang berlanjutan tanpa ada kemajuan atau penambahbaikan. Hinggakan masyarakat tua mereka mencipta pepatah " Jika seseorang tidak kelihatan olehmu selama 3 hari, maka kamu perlu melawatnya untuk melihat apakah kaizen (penambahbaikan) yang telah dibuat olehnya". Maka cerita kaizen menjadi topik yang biasa dan lebih menarik dari itu ia bukan hanya sekadar cerita rakyat yang tidak mencambahkan keupayaan berfikir dan berusaha. Masyarakat di Jepun melihat sesuatu lantas berfikir "bagaimana dapat saya selitkan kaizen disini".

Kini saya terfikir bahawa seseorang atau sekelompok manusia yang kerap berfikir atau berusaha hingga ia berbudaya dalam kehidupannya pastinya Allah beri dia kemuliaan. Walaupun masyarakat di Jepun tidak ramai yang menganut agama yang benar iaitu Islam, namun elemen bawaan Islam didalam kaizen telah lama mendarah daging dalam masyarakat mereka. Maka mereka menjadi bangsa yang kuat, hebat dan dihormati diseluruh dunia. Jika fizikal menjadi ukuran, nyata bangsa Turki jauh lebih besar dan gagah berbanding mereka. Jika faktor geografi pula diukur, negara merekalah yang paling selalu digegar gempa bumi malah mereka mengalami 4 musim yang mana pergerakan dan kebebasan adalah terhad menjelang musim salji yang boleh dijadikan alasan oleh mereka yang malas untuk tetap berada didalam selimut tebal bagi menjana mimpi baru. Namun ini tidak berlaku di Jepun.

Pada awal 1950-an sejarah telah menunjukan mereka ketinggalan dari banyak sudut terutama dengan bangsa dari barat yang pada masa itu menguasai sebahagia besar teknologi dunia dan sistem pengurusan cemerlang kerap dirujuk kepada mereka. Jepun akur dengan keadaan itu dan mereka menghantar deligasi khas untuk mempelajari tektik dan teknik pengurusan dibarat. Kekalahan dalam perang dunia kedua juga selepas itu tidak melemahkan mereka untuk bersaing sebaliknya menjadi penguat semangat kepada mereka untuk menumpukan pelaksanaan kaizen secara menyeluruh dan permulaan usaha untuk mengkaizenkan kaizen yang sedia ada.

Hasilnya, 30 tahun selepas itu, dunia barat melihat persaingan yang sengit datang dari Jepun. Semakin hari pesaing mereka ini dengan bergaya menghasilkan sesuatu yang dari segi inovasi dan kualiti serta keupayaan bertahan yang setanding dengan mereka. Malah dari banyak sudut Jepun telah terkehadapan berbanding mereka melalui kecekapan mengawal pembaziran dan sumber, cost yang efektif dan modal insan yang berkualiti. Masyarat jepun amat menghargai usaha berterusan dari setiap individu sekalipun mereka gagal mencapai penghujung matlamat usahanya, manakala dunia barat pada ketika itu banyak menumpukan kepada sesuatu yang beroriantasikan keputusan dan kejayaan tanpa menghargai usaha yang telah disumbangkan seseorang. Maka kesungguhan masyarakat di Jepun untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik amat tinggi kerana adanya faktor penghargaan manakala itu tidak berlaku di dunia barat.

Kerisauan barat terhadap Jepun menyebabkan mereka yang dulunya guru kini datang kepada bekas muridnya untuk berguru. Jepun yang dahulu berguru kepada mereka telahpun meninggalkan ilmu turunan mereka memandangkan budaya kaizen yang mereka pegang tidak membenarkan sesuatu yang dipegang atau digunakan tanpa ditambahbaik pada setiap masa. Pujian harus diberikan kepada barat dan Jepun yang telah menunjukan sikap profesional dalam mempelajari sesuatu. Hasilnya kini mereka menguasai dunia sesuai dengan hadith nabi yang bermaksud" Jika kamu mahukan dunia hendaklah dengan Ilmu, jika kamu mahukan akhirat hendaklah dengan Ilmu dan jika kamu mahukan kedua-duanya sekali hendaklah juga dengan Ilmu".

Bagaimana pula kita dapat menghubungkait Islam dan kaizen dalam dunia hari ini sekaligus manafaatnya sampai kepada umat Islam. Sesuatu yang jelas adalah kaizen itu adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam didalam semua aspek kehidupan melingkupi dunia dan akhirat selagi mana batasnya diperincikan bagi kemaslahatan umat. Umat islam perlu mengambil balik semua yang terlepas dari Islam dan membawanya pulang semula.

Teringat saya dengan ungkapan masyur didalam Islam berbunyi " Orang yang berjaya adalah orang yang hari in lebih baik dari semalam dan orang yang rugi adalah orang yang hari ini sama dengan semalam manakala orang yang celaka adalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam". Ungkapan ini dirasa begitu sinonim dengan budaya kaizen masyarakat Jepun. Bezanya kita adalah kita beriman kepada Allah swt yang mana iman kepada Allah ini masih samar bagi masyarakat di Jepun. Kaizen yang dibudayakan akan sampai kepada penghujungnya yang tandus jika hak pencipta kepada semua termasuk budaya kaizen yang hebat ini tidak ditunaikan.

Begitulah hebatnya Islam. Ia mengajak seluruh manusia sentiasa menuju kebaikan dan kejayaan pada setiap masa. Setiap hari bilal akan mengumandangkan laungan "Marilah menuju kejayaan" yang mana kejayaan hari ini perlu dikaizenkan pada esoknya sesuai dengan laungan azan pada setiap hari yang mendatang. Kepada Allah jua dipohon kebaikan dan kefaham didalam agama. Wallahualam.

No comments: