Thursday 10 December 2009

KEPADA ALLAH DIPOHON KEFAHAMAN DALAM AGAMA



Selalu aku berdoa, agar Allah swt memberikanku kefahaman didalam agama-Nya sebagaimana kefahaman yang telah diberikan kepada para-para nabi-Nya dari sahabat-sahabat beliau. Aku juga sentiasa berdoa agar dikurniakan kawan-kawan yang dapat memberi serta menambahkan kefahamanku didalam agama ini dan berdoa semoga Allah menjauhkan aku dari mereka yang Dia dan rasul-Nya membencinya. Aku cukup sedar kepelbagaian manusia disisiku. Manusia yang menarik perhatianku untuk cuba kudampingi adalah manusia yang banyak melakukan kebajikan, tinggi ilmu dan amalannya selari dengan bawaan para pesuruh Allah swt.


Sering kali aku mengingatkan diri untuk menunjukkan akhlak yang mulia dalam bermuamalat. Tidak kira apa ketika dan suasana sama ada dengan insan yang mulia atau durhaka. Fitrah manusia suka kepada akhlak yang mulia dan sememangnya sifat ini perlu sentiasa dibaja. Maka kisah Nabi dan Para sahabatnya perlu aku hiaskan dalam muamalatku seharian. Aku berharap ia penyubur usaha dakwah yang kini aku fikirkan. Aku baru melakukannya dan terasa kebahagiaan didalamnya. Mereka itu telah pun berjaya dan cara terbaik untuk berjaya adalah mengikuti orang yang telah berjaya. Wahai nabi, akhlakmu cukup sempurna, berjaulah ke negerimu membuatkanku semakin kagum dan sedar bahawa Allah memberimu kesempurnaan itu. Kesempurnaan yang Dia juga berikan kepada sesiapa sahaja yang mengikutimu.


Semakin meningkat usia, bermacam perkara baru kutemui sepanjang hari. Namun perkara yang paling menarik minatku untuk terus mendalaminya adalah bagaimana untuk memahami agama sesuai dengan kehendak pencipta-Nya. Maka Allah menemukan ku dengan pelbagai ilmuan, buku-buku dan rujukan ilmiah untuk aku pelajari. Aku terus berdoa agar dalam pengkajian bukan empericalku ini Allah menghilangkan perasaan malas, putus asa, ujub, riak dan takbur. Aku juga berdoa agar dilindungi dari perasan taksub kepada manusia. Taksubku hanyalah kepada nabi. Dialah Idolaku. Mencintai dia bererti aku mencintai Allah. Adapun manusia selepas darinya tidak terlepas dari dosa hatta setinggi mana ilmunya. Namun aku meletakkan setinggi penghormatan kepada semua para ilmuan yang ikhlas menyumbang kepada agama Allah.


Ya Allah, janganlah sedikit ilmu yang kau berikan kepadaku ini hanya aku gunakan untuk berhujjah. Lebih malang dari itu ianya hanya sekardar untukku berbantah-bantah. Jadikan ianya amalanku yang dengannya aku berpeluang mendekatkan diri ini denganmu. Aku selalu yakin bahawa dengan amalan maka terbentuk kekuatan iman. Ilmu tanpa diamal dan dikongsi sesama insan hanyalah maklumat yang beku semata. Sifat iman yang selalu turun dan naik bergantung kepada amalan. Jika amalan para nabi dan sahabatnya dicontohi maka iman akan terpelihara dan meningkat. Adapun sebaliknya, maka tiada jaminan selain kegagalan. Aku juga mohon perlindungan dari amalan-amalan rekaan dari mereka yang masih merasakan agama ini belum sempurna. Juga mereka yang banyak memperkatakan perkara yang sia-sia dengan berlawak jenaka yang tidak berpenghujungnya. Jika mereka ini engkau takdirkan sebagai sahabatku, maka aku berdoa agar engkau ampuni aku dan dia dan berilah kefahaman sebenar dalam agama dan kejelasan hal tuju dalam penghidupan kami. Amin.

No comments: